12 November 2013

Cerpen : Irama Cinta Kita 2



      

       Natrah yang berada di atas kerusi roda diam merenung keluar jendela. Dia kini hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Jika bukan kerusi roda, orang-orang terdekatlah yang membantu dia untuk bangun atau baring di katilnya. Sebak. Itulah yang dirasakan.

       “Natrah, tak baik buat macam tu. Berkali-kali Fahmi call kitorang tanya tentang kau. Kau nak kitorang menipu untuk kau juga? Kau kata dia kawan baik kau. Kenapa kau menipu dia?” Marah Hanan dengan sikap Natrah. Yuyun mengangguk setuju. Mereka bertiga memang sudah bersahabat baik sejak dari sem 1 namun kali ini mereka benar-benar buntu dengan sikap Natrah.

       “Katakan pada Fahmi, aku sudah keluar negara. Tolonglah aku. Aku tak sempurna untuk dia. Biarkan dia cari yang lain.” Rayu Natrah lemah. Kalau boleh dia tidak mahu Fahmi melihat dia dalam keadaan begitu.

       “Lagi pun seorang meninggalkan dia, sepuluh perempuan sudi menemaninya.” Tambah Natrah perlahan.

        “Kau hanya menyiksa diri kau sendiri Natrah!” Hanan meninggalkan Natrah di dalam bilik. Yuyun memegang tangan Natrah. 

       “Dah setahun kau macam ni Natrah. Setahun juga Fahmi tak pernah berhenti tanya pasal kau. Sampai bila kau nak sembunyikan diri dari Fahmi? Kau sebenarnya kuat Natrah. Buktinya kau masih hidup walau separuh badan kau lumpuh. Baru setahun kau sudah setapak lebih sihat dari orang lumpuh yang lain sebab semangat kau kuat.” Lembut suara Yuyun berbicara seolah memujuk diri Natrah Mawaddah.

       Natrah tidak menjawab sebaliknya hanya air mata menjadi jawapan. Maafkan Natrah, Fahmi..


* * *

       “Fahmi, tengah buat apa tu?” Tanya Kak Husna tatkala melihat adiknya sibuk melihat kawasan perumahan di internet. 

       “Fahmi tengah nak beli rumah ni kak. Tapi nak tengok dulu tempat mana yang sesuai. Sebelum jumpa Natrah, Fahmi nak pastikan Fahmi dah ada rumah dan kereta. Tapi Fahmi belum mampu beli rumah mahal-mahal kak. Duit yang Fahmi simpan masa kerja cuti sem pun nak kumpul untuk duit kahwin lagi.” Jawab Fahmi selamba tanpa melihat wajah kakaknya.

       “Eh, nak kahwin dah adik kakak? Alaa takpelah Fahmi. Fahmi pun dah ada kereta, duit untuk kahwin dah dikumpul. Sekarang nak beli rumah pula. Itu satu kejayaan bagi orang yang masih belajar macam Fahmi ni. Akak kenal Natrah tu. Dia bukan orang yang perlu dimewahkan. Apa yang ada, dia akan bersyukur. Jangan risaulah Mi, Natrah pasti gembira.” Balas Kak Husna sambil menepuk-nepuk bahu adiknya.

* * *

       Hanan dan Yuyun yang datang ke Terengganu untuk melawat Natrah bermalam di rumah sahabatnya untuk dua hari. Dalam masa yang sama, mereka menyimpan hajat untuk membawa Natrah bercuti di Pulau Pangkor memandangkan tidak lama lagi mereka berdua akan sibuk kerana menyambung ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. 

       “Pakcik, makcik, kami ingat nak bawa Natrah bercuti di Pulau Pangkor untuk beberapa hari. Memandangkan tidak lama lagi kami akan meyambung ijazah. InsyaAllah kami akan menjaganya sebaik mungkin. Urusan chalet semua kami dah uruskan.” Terang Hanan kepada ibu bapa Natrah semasa mereka sedang makan malam.

       Lama ayah Natrah diam namun selepas itu dia mengangguk membuatkan Hanan dan Yuyun tersenyum lebar. 

       “Terima kasih pakcik.” Ucap mereka serentak. 

* * *

       Fahmi menghirup teh panas yang berada di atas meja kemudian meletakkannya semula. Bosan seharian berada di rumah, akhirnya dia mengajak dua kawannya untuk minum di luar. Sengaja ingin mengambil angin dan merehatkan minda. Dua sahabatnya sedang asyik berborak sedangkan dirinya hanya mencelah sekali sekala.

       “Fahmi, macam mana dengan Natrah? Dah jumpa?” Tanya Aidil mengalih cerita.

       “Hm..” Fahmi menggeleng. Tangannya sibuk mengetuk-ngetuk kunci kereta di atas meja.

       “Sudahlah Fahmi, hentikan pencarian kau. Setahun dah pencarian kau. Sampai bila kau nak 
mencari? Cari sahaja yang lain bukannya tak ada yang minat kau. Berderet weh.” Aidil meluahkan pendapat.

       “Aku nak cari siapa lagi? Hati aku hanya pada dia. Biarlah, aku cari Natrah sampai jumpa.” 

       “Aku rasa dia tak sayang kaulah Fahmi. Kau ingat tak, dia tak pernah izinkan kau simpan gambar dia malahan dia tak izinkan kau panggil dia sayang. Padahal sayangkan orang bukan berdosa pun.” Hakimi membuat kenyataan berani mati.

       Berderau darah Fahmi dibuatnya. Nafas Fahmi turun naik menahan geram namun segera diuruskan dengan istighfar. Kalau nak diikutkan nafsu, ingin sahaja ditumbuknya orang yang tak reti menjaga mulut ini.

       “Kau tahu tak apa beza seorang muslimah dengan seorang wanita biasa? Aku lebih kenal dia!” Jawab Fahmi dengan suara sedikit tinggi.

* * *

 
       Hanan menolak kerusi roda Natrah di tepi pantai kemudian berhenti di satu tempat. Tiga sahabat itu sedang asyik bercerita sambil mendengar bunyi ombak yang menghempas pantai. Natrah lebih banyak mendengar cerita kawan-kawannya berbanding bercerita. Tumpuannya lebih tertumpu pada bunyi ombak yang sedang rancak menghasilkan halwa telinga buatnya.

       “Natrah, macam mana dengan pengajian kau nanti?” Tanya Yuyun tiba-tiba
.
        “Alhamdulillah, aku sempat habiskan praktikum aku sebelum kemalangan dulu. Cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi dan pihak kolej terima alasan aku. Aku perlu tangguh pengajian untuk ijazah sampai aku boleh urus diri aku sendiri dengan baik. Aku akan teruskan cita-cita aku. Aku takkan putus asa walaupun tanpa kaki.” Natrah bersuara tekad.

       Hanan dan Yuyun melemparkan pandangan jauh ke tengah laut. Mendengar Natrah yang tekad, mereka besyukur atas nikmat yang Allah kurniakan pada mereka. Ya Allah, pulihkanlah Natrah seperti biasa.. Doa Yuyun dan Hanan.

       Langit berubah warna, hari berganjak malam. Natrah melihat Hanan dan Yuyun sudah nyenyak tidur manakala dirinya masih sukar untuk melelapkan mata. Matanya menatap syiling chalet yang cantik sambil fikirannya melayang entah ke mana. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi piano yang sayup kedengaran. Diteliti lagi bunyi itu. Ya, benar bunyi piano.

        Hatinya mendesak ingin melihat siapa yang memainkan piano tersebut namun semua itu mustahil. Dia ingin ke kerusi rodanya pun sudah payah. Ini pula ingin keluar dan mencari dari mana bunyi itu datang. Lalu Natrah membiarkan sahaja bunyi itu menemani malamnya sehingga dia tertidur.

        Keesokkan harinya, semasa menikmati sarapan pagi di café chalet penginapan mereka, Natrah bertanya kepada pelayan perempuan di situ tentang bunyi piano yang didengarnya semalam. Akhirnya Natrah tersenyum kerana ternyata bunyi yang dia dengar itu datang dari café yang menghadap pantai tempat mereka menginap itu. Kerana café itu terletak tidak jauh daru chalet mereka.

       “Yuyun, Hanan, aku minta maaf. Disebabkan aku, korang tak boleh pergi ke mana-mana walaupun dah sampai Pangkor ni.” Luah Natrah kesal.

       “Alaa relax la Natrah. Kitorang datang sini bukan nak melawat sangat pun tempat ni. Kitorang cuma nak luangkan masa dengan kau je. Nanti rindu pula kan. Lagi pun sengaja pilih tempat ni. Nak bagi kau tenang sikit. Kau jangan risau la. Aku dengan Yuyun gembira je kat sini sebab ada kau.” Ucap Hanan menyakinkan.

       Natrah tersenyum, kemudian bertanya. “Apa nak buat lepas ni?” 

       “Kita buat benda yang kita tak pernah buat nak? Asalkan kita gembira. Yeayy!” Yuyun bersuara gembira.

       Selepas menunaikan solat asar, Hanan mengeluarkan DSLR miliknya. Seronok benar mereka bertiga bergambar dengan perlbagai aksi dan ragam. Sesekali kedengaran suara mereka ketawa memecah. 

       “Weh Hanan, kau ke sana la sikit. Bagi Natrah kat tengah. Okay gaya bebas. Satu.. Dua..”

       Bunyi piano kedengaran lagi. Sayup dari arah yang sama Natrah dengar semalam.

       “Yun, kejap kejap. Bawa aku ke sana.” Pinta Natrah seolah merayu.

       “Kau nak pergi mana ni Natrah? Bunyi piano tu ke?” Tanya Yuyun manakala Hanan nampak buntu.

       “Bawa aku ke café. Cepat sebelum bunyi tu pergi.” Natrah cuba untuk mengerakkan kerusi rodanya. Tudungnya yang berada dekat dengannya segera dicapai. Melihat keadaan Natrah yang bersungguh-sungguh, Yuyun dan Hanan segera memakai tudung kemudian menolak kerusi roda Natrah ke café tadi.


       Setelah mereka bertiga menghampiri seorang lelaki yang sedang bermain piano mewah yang terletak di café tersebut, tiba-tiba Natrah meminta ingin pergi dari situ. Wajah Natrah berubah gelisah. Yuyun bertindak lambat-lambat kerana tidak faham dengan sikap Natrah yang berubah serta-merta.

       Lelaki yang sedang asyik bermain piano tadi tiba-tiba berhenti dan menoleh ke belakang. Sikap Yuyun yang enggan bekerjasama dengan Natrah menyebabkan pergerakkan Natrah terhalang. Hanan diam membatu melihat sikap Natrah yang berubah, namun sebaik sahaja si pemain piano itu menoleh ke belakang, barulah dia faham.

       “Natrah Mawaddah?” Panggil Fahmi kuat dan jelas.

       Semua yang ada di situ memandang wajah Fahmi dan Natrah silih berganti. Bagaikan berjuta cerita yang tersimpan. Setahun pencarian Daniel Fahmi kini terjawab. Natrah yang selama ini lari darinya kini datang kepadanya. Betapa tuhan Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.

       Fahmi melangkah perlahan kepada Natrah kemudian menolak kerusi roda gadis itu ke tempat yang lebih tertutup dari pandangan mata orang ramai ditemani Yuyun dan Hanan di sisi. Sepanjang kerusi roda itu ditolak perlahan, tidak seorang pun bersuara. Hanya sepi bersama air mata Natrah.

       Setelah sampai di tempat duduk yang dirasakan sesuai, Fahmi duduk berhadapan dengan Natrah manakala Yuyun dan Hanan duduk di meja sebelah memberi peluang kepada mereka berdua berbincang apa yang tersimpan di hati.

        “Natrah, kenapa awak lari daripada saya? Kerana saya mencintai awak? Salahkah? Awak kata mahu kita berkawan untuk selama-lamanya lalu perkahwinanlah jalannya! Saya tunggu awak Natrah.. Saya cari awak tapi mereka semua tak nak membantu saya. Saya tak pernah berhenti berdoa supaya Allah kuatkan jodoh kita. Tahukah awak saya hampir berputus asa? Apa salah saya Natrah?!” Fahmi melepaskan semua yang terbuku di hati. Air matanya yang ditahan akhirnya jatuh bersama luahan hatinya. Lebih pedih tatkala melihat insan yang dicari kini tidak mampu berjalan sendiri.

       “Setahun yang lalu, saya kemalangan dan disahkan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki. Saya tidak sempurna seperti dahulu lagi. Saya takkan boleh menjaga awak malahan saya akan menyusahkan awak sebab tak boleh uruskan diri saya sendiri. Saya malah terpaksa menangguh pembelajaran saya disebabkan kaki saya! Bagaimana awak fikir saya boleh berhadapan dengan awak dalam keadaan saya yang lemah macam ni Fahmi?” Tersedu-sedu Natrah membalas persoalan Fahmi. Hidung dan bibirnya merah kerana asyik menangis.

       “Lalu awak fikir saya mencintai awak kerana kesempurnaan awak? Awak fikir saya mencintai awak hanya ketika awak sihat dan berdaya? Tolong terima saya Natrah Mawaddah. Jangan tinggalkan saya lagi. Demi Allah, Natrah. Bersaksikan dua sahabat awak, saya ingin awak menjadi isteri saya!” Bersungguh-sungguh Fahmi berbicara menyakinkan wajah yang dirindu berada di depan mata.
       “Saya sendiri masih sukar untuk menerima keadaan saya yang macam ni. Bagaimana saya ingin serahkan diri saya pada awak? Bagi saya masa, Fahmi..” Pinta Natrah. Air matanya jatuh lagi.


* * *

       Fahmi mendekati ibunya yang semakin sihat dari sakit yang pernah ditanggung dahulu. Ibunya sudah boleh berjalan sendiri dan badannya juga sudah semakin berisi. Cantik! Bahagia Fahmi melihat keadaan ibunya yang semakin pulih. Ibu Fahmi yang baru sahaja membaca al-Quran menutup kitab suci itu kemudian menumpukan perhatian pada anak ketiganya.

       “Ibu, apakah yang ada di antara cita-cita dan cinta?” Tanya Fahmi  ingin tahu.

       “Takdir tuhan sayang. Buatlah keputusan yang terbaik untuk Fahmi dan Natrah. Ibu percaya anak ibu sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri.” Jawab Ibu Fahmi sambil membelai rambut anaknya yang kian dewasa.

* * *

(Bersambung)

No comments: