12 November 2013

Cerpen : Irama Cinta Kita 1

Assalamualaikum,

Cerpen trailer. Trailer budak baru belajar~ Erk, cerpen pun nak buat trailer ke? haha. lawak la aku ni >< hentam jela. hah, tapi sebelum tengok trailer, tutup dulu lagu asas dalam blog ni kat bahagian bawah sekali. kalau malas nak baca panjang panjang, tengok trailer dulu. tapi kalau tak sabar, baca jela. tiada paksaan. 




       Fahmi tersenyum girang melihat sahabatnya Natrah sedang bermain dengan adik-adiknya. Setelah hampir setahun tidak bersua, akhirnya hari ini menyaksikan pertemuan mereka. Mereka telah dua tahun berkawan. Segala jerih perih dalam persahabatan telah mereka tempuhi bersama. Benar, Natrah Mawaddah memang sahabat baiknya, dengan izin Allah. Alhamdulillah.

       “Kak Natrah, jomlah teman Min main buaian dekat sana.” Pinta Yasmin yang masih kecil sambil menarik-narik hujung baju Natrah.

       “Kak Natrah, cuba tengok Amir pandai bergayut dekat palang ni.” Giliran Amir pula meminta perhatian. 

       Natrah gembira apabila dikelilingi kanak-kanak. Segala gelagat adik-adik Fahmi dilayan tanpa penat. Kadang-kadang dia ikut sama ketawa kerana gembira. Setelah lama menanti, akhirnya dapat juga dia melawat ibu angkatnya merangkap ibu Fahmi di Shah Alam. Natrah turut mengajak Nurul bersama kerana memikirkan dia bakal bermalam di sana.

       “Min, Amir, jom balik. Dah 6.30 petang dah ni.” Ajak Natrah peka dengan peredaran waktu kerana enggan lewat menunaikan solat maghrib. Yasmin dan Amir memegang tangannya. Nurul hanya melihat ragam anak-anak kecil yang mudah rapat dengan Natrah. Memang tidak dinafikan, Natrah memang mudah menarik perhatian kanak-kanak. 

       “Jom, kita jogging sampai rumah!” Jerit Fahmi kemudian adik-adiknya turut berjogging di sebelahnya.

* * *


       Natrah Mawaddah tersedar dari lamunannya. Teringat kisah lama yang telah mengeratkan hubungannya dengan keluarga angkatnya di Shah Alam. Bibirnya mengukir senyuman. Kini telah 2 tahun berlalu. Natrah Mawaddah dan Daniel Fahmi masing-masing melanjutkan pelajaran ke negeri berbeza dan bidang berbeza. Namun ikatan persahabatan mereka masih bertahan hingga ke saat ini. Walaupun jarang berhubung namun apabila ada masa lapang, mereka saling bertanya khabar.

       Sebagai pelajar tahun akhir pemegang Diploma Teaching English As A Second Language (TESL), dia kini sibuk menjalankan praktikum di sebuah sekolah rendah di Selangor. Setiap hari, ada sahaja bahan bantu mengajar yang disediakan bagi menarik minat pelajarnya mempelajari Bahasa Inggeris. 

       Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Natrah menuju ke jendela biliknya lalu membukanya. Bayu dingin menerobos masuk menyapa mukanya. Natrah menarik nafas dalam kemudian melepaskannya. Sengaja dia ingin menenangkan fikirannya yang kebelakangan ini dipenuhi dengan kerja. Tak lama lagi, dia akan menamatkan diplomanya. Tak sabar rasanya ingin menyambung pelajaran ke luar negara. Itulah impian yang disimpan sejak kecil. 

       Kringg kringg.

      Telefon bimbit Natrah berbunyi. Daniel Fahmi. Segera diangkatnya.

       “Assalamualaikum Natrah. Sibuk ke? Lama tak tanya khabar. Awak apa khabar?” Kedengaran suara Fahmi di hujung talian.

       “Waalaikumussalam Fahmi. Macam biasalah sibuk final year. Alhamdulillah sihat. Awak pula?” Giliran Natrah pula bertanya.

       “Alhamdulillah, sihat juga. Natrah, saya ada benda nak bagi tahu awak ni.” Suara Daniel Fahmi bertukar serius. Dia berjeda seketika. Natrah diam memberi ruang kepada Fahmi untuk menyambung ayatnya.

              “Natrah ingat lagi kan dulu saya ada bagi tahu awak saya akan jadikan awak isteri saya. Saya Cuma nak bagi tahu awak, saya masih dengan hajat saya. Saya ingin menjadikan awak isteri saya. Awak tunggu saya sampai saya tamat diploma ye? Selepas itu saya akan terus jumpa ibu bapa awak.” Ucap Fahmi ikhlas.

        Natrah diam. Dia masih ingat hajat Fahmi yang satu itu. Sesungguhnya jika perkara itu benar berlaku, sudah pasti dialah orang yang paling bahagia. Namun dalam berharap, dia hanya mampu berdoa dalam diam. Suara hatinya dibiarkan sepi. Keutamaannya diberikan kepada pelajaran. Enggan jatuh dalam jerat cinta palsu. Cintanya hanya buat seorang suami.

      “InsyaAllah, jika awak bersungguh-sungguh tentu Allah izinkan.” Setelah lama berdiam diri, akhirnya itu sahaja yang keluar dari mulutnya. 

      Natrah Mawaddah memang seorang yang tegas dalam pergaulannya. Walaupun dengan sahabat baiknya sendiri. Dia tidak akan melunakkan suaranya jika bersembang dan auratnnya dijaga sebaik mungkin. Dia selalu berdoa supaya Allah memelihara kesucian persahabatan antara dia dan sahabatnya kerana dia benar-benar ingin berjumpa sahabat-sahabatnya di syurga nanti.

       Oleh itu, dia berhati-hati dengan perasaan yang Allah hadirkan dalam hati Daniel Fahmi. Gusar andai cinta yang kudus merosakkan persahabatannya atau persahabatan yang tulus mencemarkan cinta yang tak berdosa.

       Tidak dinafikan, Fahmi memang suka mendapatkan perhatian Natrah. Kadang-kadang dipanggilnya Natrah dengan panggilan sayang. Mengamuk Natrah dibuatnya. Kadang-kadang gambar Natrah diambil dalam diam. Apabila Natrah mendapat tahu, terus diminta dilupuskan terus dari telefonnya. Bengang Fahmi seketika namun kerana sayangkan sahabatlah Natrah buat begitu.

       “Jangan terlalu turutkan rasa. Kita masih perlukan masa. Kita ada cita-cita.”


* * *

       Kringggggggg!! Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu sekolah telah berakhir. Semua pelajar darjah satu berebut-rebut bersalam dengan Natrah. Natrah tersenyum melihat pelajarnya. Setelah mengemas bukunya di atas meja, dia bergerak ke tempat letak kereta. 

       Apabila dia memandang keluar, pelajar-pelajar darjah empat dan lima sedang asyik bermain kejar-kejar di luar sekolah walaupun telah dimarahi oleh pengawal keselamatan di situ. Natrah segera keluar dan mendapatkan pelajar-pelajar tersebut.

       “Hakim, Aidil, Wafiy. Jangan main kejar-kejar kat luar ni. Bahaya. Duduk dekat kerusi sana sementara tunggu bas sekolah datang.” Arah Natrah. Ketiga-tiga pelajar itu akur namun masih mencuit satu sama lain sambil ketawa. Natrah menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil tersenyum. Walaupun sekadar guru pelatih di sekolah itu, Natrah merasakan dia mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas pendidikan dan pelajar di situ. Itulah dia, seorang guru.

       Semasa sedang sibuk menguruskan pelajar-pelajar tadi, Natrah terpandang seorang pelajar darjah satu yang sedang teragak-agak untuk melintas jalan. Natrah segera menghampirinya, pelajar itu menoleh. Namun bagaikan halilintar, sebaik sahaja tangan pelajar itu digenggam, sebuah kereta Ferrari menuju laju ke arah mereka. Otak Natrah tidak sempat berfikir panjang lalu ditolak pelajar itu kehadapan namun semua yang berlaku umpama angin lalu. Dia sendiri tidak sempat untuk mengelak. 

       Darah memercik membasahi baju kurung Natrah. Mulut dan kepalanya mengeluarkan darah. 
Semua pelajar yang ada di perhentian bas tergamam bagaikan tidak percaya apa yang terjadi di hadapan mata mereka. Kereta Ferrari itu hanya berhenti sesaat dua kemudian pergi begitu sahaja.     
 
       Teacher Natrah!!” Jerit Wafiy yang paling akrab dengan Natrah. Dia mendapatkan Natrah diikuti pelajar lain. Dalam sekelip mata, orang ramai mengerumuni jasad Natrah. Ayah Wafiy yang baru sahaja sampai turun daripada keretanya untuk melihat apa yang berlaku.

       “Tolong bawa teacher ke hospital ayah! Tolong Wafiy!” Pinta Wafiy yang kini berada di darjah lima. Air matanya jatuh, seragam sekolahnya turut dibasahi darah Natrah.

       Menyedari keadaan mendesak, darah Natrah mengalir kian laju. Ayah Wafiy terus mengangkat Natrah dan meletakkan dia di tempat duduk belakang ditemani anaknya. Dia mengambil semua barang Natrah yang bersepah di jalan raya kemudian masuk ke dalam kereta.

       “Tolong maklumkan pada pihak sekolah. Saya bawa Cik Natrah ke hospital berdekatan.” Jerit ayah Wafiy kepada beberapa orang guru di situ. Keretanya terus memecut laju melihat keadaan Wafiy yang kian gelisah.

       Sampai sahaja di bahagian kecemasan, Natrah dibawa masuk ke bahagian rawatan dengan bantuan beberapa orang jururawat. Sampai di pintu hadapan sahaja kemudian langkahnya terhenti membiarkan Natrah kepada jururawat yang lain.

       “Wafiy ikut ayah. Ayah nak uruskan maklumat tentang cikgu Wafiy di kaunter.” Arah si ayah kepada anak tunggalnya. Wafiy hanya menurut. Dia tidak putus-putus berdoa untuk guru kesayangannya itu. Walaupun baru bertemu, namun kesabaran Natrah dalam melayan kerenah para pelajarnya menyebabkan dirinya mudah disayangi.

       Setengah jam kemudian, beberapa orang guru turut sama menyusul ke hospital. Masing-masing dengan wajah yang risau. Minit berganti jam namun doktor masih belum memberi apa-apa jawapan. Segala usaha dibuat bagi menyelamatkan nyawa Natrah. 

       “Kami masih dalam usaha menyelamatkan nyawa Cik Natrah. Sila maklumkan pada keluarga beliau dan sama-sama doakan untuknya.” Hanya itu yang keluar dari mulut jururawat tersebut kemudian dia masuk semula ke bilik rawatan.

       Guru besar dari sekolah di mana Natrah praktikum memaklumkan hal tersebut kepada pihak universiti. Makluman turut disampaikan kepada ahli keluarga Natrah supaya lebih ramai mendoakan Natrah Mawaddah.

       Setelah 2 jam bergelut dengan maut, doktor mengesahkan bahawa Natrah telah hilang upaya kedua-dua kakinya. Natrah disahkan lumpuh dari bahagian pinggang hingga kaki dan masih dalam keadaan koma. 

       “Cik Natrah telah mengalami lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki beliau. Namun beliau masih ada harapan untuk sembuh asalkan beliau kuat.” Ujar doktor dalam lingkungan 40-an itu.

       “Ayah, Wafiy nak teacher Natrah..” pinta Wafiy.



* * *
(Bersambung)
 

No comments: