Bercakap tentang aurat wanita, semua orang sudah maklum aurat wanita adalah semua kecuali muka dan tapak tangan. Tapi pada zaman milenium ini mengapa masih ada wanita yang sanggup mempertontonkan aurat mereka di khalayak ramai? Dahulu mungkin kita jahil tentang agama dan hidayah belum lagi terbentang di hadapan mata. Mungkin kita tidak kisah berapa saiz baju yang kita pakai asalkan ia berlengan panjang atau kita sekadar memakai tudung namun langsung tidak menghiraukan sama ada tudung tersebut menutup dada atau tidak dan sama ada tudung tersebut jarang atau tidak.
Firman
Allah di dalam Surah al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud - Hai Nabi, katakanlah
kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:
“Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang
demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak
diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang.”
Dahulu,
mungkin Humaira juga seperti sebahagian daripada remaja-remaja moden yang gemar
berfesyen dan amat mementingkan penjagaan rupa. Dilahirkan di tengah ibu kota,
Humaira juga seorang yang freehair sehinggalah
dia berumur 9 tahun dan ketika itu dia
berada di Perak. Saat itu, Humaira bersekolah di SK Methodist, Tanjung Malim.
Sebahagian pelajar perempuan memakai tudung dan ada juga yang tidak. Di akhir
darjah 3, barulah hatinya terbuka nak pakai tudung. Humaira meminta ayahnya
belikan tudung sekolah buatnya dan mula berjinak-jinak dengan memakai tudung
ibu.
Tapi
masa tu, Humaira suka pakai tudung yang kebanyakkanya tak menutup dada kerana
tudung itu dia ‘simpangkan’ kedua-dua belah di bahu. Ayahnya ada menegur tapi
sedikit pun tidak berkesan kerana ramai pelajar perempuan memakai tudung
begitu. Ibu juga ada berpesan, jangan berbangga dengan wajah yang cantik kerana
kecantikan itu tidak kekal. Hanya nasihat itu yang berkesan, dia bermuhasabah.
Ayah dan ibu Humaira tidak pernah penat memberi
nasihat dan motivasi buat puteri sulung mereka supaya berubah dan menjadi
seorang solehah. Tambahan pula dia perlu menjadi contoh terbaik buat
adik-adiknya. Namun dia gagal. Adik-adik yang sememangnya rapat dengannya mudah
benar mengikut rentaknya. Ibu sering berpesan, “kepimpinan melalui teladan”
tapi dia masih lagi mencari-cari siapa dirinya dan dimanakah jalan yang harus
dia pilih? Hari demi hari berlalu, kedewasaanlah yang mematangkan dia. Akhirnya
dia terjumpa cahaya yang dicari di tebing-tebing tahajud dan taubat. Itulah
Cahaya Hidayah. Sinarnya memancar bagaikan matahari menerangi segenap hati yang
tidak putus mencari.
kali
ini, tekadnya hanya satu. Dia ingin berjaya di dunia dan akhirat. Menjadi
wanita solehah yang terpelajar merupakan impiannya. Dia ingin mengumpul
sebanyak-banyak amalan untuk dibawa ke negeri abadi. Apa sahaja larangan Allah,
dia jauhi. Bersungguh-sungguh dia bermujahadah. Walaupun perih, dia reda. Dia
tahu kemanisan yang dicari ada di hujungnya. Apa yang sunat, dia cuba mencapainya. Dia
ingin menjadi khalifah Allah yang berbakti di jalan tuhannya. Dialah mawar suci
perindu syurga.
"Alamak,
kain dengan tudung ni nampak jarang la.” Kata Humaira ketika berdiri di depan
cermin.
Dia mengambil kain dalam dan tudung Syria
untuk dipakainya di bahagian dalam. Kalau pakai semua ni mesti nampak gemuk.
Bisik hatinya. “Tak mengapa nampak gemuk di mata manusia asalkan Allah reda.”
Pujuk Humaira. Sejak hari itu, Humaira tidak kisah jika terpaksa kelihatan
gemuk kerana pakai tudung, baju dan kain berlapis-lapis kerana tujuannya hanya
satu. Lillahi taala.
"Ya
Allah, ampunilah dosa-dosaku yang lalu. Terimalah taubatku wahai Allah.
Terimalah segala usahaku untuk mencari redaMu. Bantulah aku dalam menjadi
contoh terbaik buat adik-adikku dan untuk menjadi hamba-Mu yang solehah. Jadikanlah
aku seorang srikandi terhormat yang sentiasa menegakkan panji agamaMu.
Jadikanlah aku wanita yang kematiannya ditangisi dunia dan disambut gembira oleh
penghuni Syurga. Wahai Allah, janganlah kau hukum aku dengan dosa dan
kejahilanku yang lama. Kini, dalam sujudku berserah taubatku hanya untukMu.”
No comments:
Post a Comment